Misi dan Inkulturasi
oleh Fr Simon Poh (terjemahan)
Pengenalan
Saya telah menyedari bahawa Sarawak adalah lebih daripada sebuah negeri yang mempunyai beribu sungai, ia juga negeri yang terdiri daripada pelbagai budaya, tradisi dan bahasa. Bulan ini, kita merayakan Gawai Dayak - perayaan menuai bagi komuniti Iban dan Bidayuh. Justeru itu, bagi keluaran keenam ini tentang Misi Kita Hari Ini, saya menulis tentang 'Inkulturasi' (Pembudayaan) - hubungan antara misi dan budaya.
Definisi 'Inkulturasi'
Ringkasnya, Inkulturasi adalah satu pendekatan Kristian terhadap budaya. Ini adalah disebabkan Kristus Firman abadi yang menjadi tubuh badan (Yoh 1:14), dijelmakan ke dalam dunia Yahudi, dengan budaya, tradisi dan bahasanya. Inilah model inkulturasi. Gereja juga sentiasa mencari cara untuk mengisytiharkan Kristus dengan cara yang relevan agar para umat satu-satu budaya dapat memahami dan percaya.
Paus John Paul II menulis dalam Redemptoris Missio no.52: "Melalui inkulturasi gereja menjadikan Injil dijelmakan dalam pelbagai budaya dan pada masa yang sama mengenalkan kepada semua umat manusia, bersama-sama budaya mereka, ke dalam komunitinya. Ia menyebarkan kepada mereka nilai-nilainya sendiri, pada masa yang sama mengambil unsur-unsur baik yang telah wujud dalam mereka dan memperbaharui mereka daripada dalam."
Bahasa sebagai alat bagi inkulturasi
Dengan cara paling asas, inkulturasi mempersembahkan Injil, menggunakan bahasa dan simbol, yang bermakna kepada para umat sesuatu budaya. Justeru itu para mubaligh (dan malah paderi kita hari ini) perlu belajar bahasa para umat yang mereka layani di kampong. Sesungguhnya, buku doa, buku nyanyian dan malah Buku Bacaan Hari Minggu dalam bahasa tempatan perlu dikarangkan dan ini telah membantu memelihara dan menggalakkan bahasa Iban dan Bidayuh (Bau, Serian, Penrissen dan Lundu). Belajar sesuatu bahasa adalah langkah pertama untuk memasuki ke dalam dialog dan memahami budaya lain.
Mencari "Sinaran Cahaya" dan "Benih Firman"
Proses mendalam dalam inkulturasi adalah untuk mendedahkan benih Firman, sinaran Kebenaran (Kristus adalah Firman dan Kebenaran) yang didapati dalam tradisi dan budaya lain. Kita semua percaya kita akan menemui unsur-unsur positif dalam pengajaran Injil tentang Kristus (contohnya pengampunan, baik hati kepada yang miskin dan balu, berkongsi dll.) dalam semua budaya. Inilah titik permulaan bagi dialog antara Keimanan dan budaya kita.
Kita mencari nilai-nilai budaya yang autentik dan mengintegrasikannya dalam keimanan Kristian kita. Kita perlu menemui sejarah sesuatu komuniti, tradisinya, ceritanya, penyembahannya, cabaran dan masalah yang ia hadapi setiap hari. (Suatu contoh daripada tradisi Cina. Kita perlu menanya diri kita: Apakah asal-usul Tahun Baru Cina, Perayaan Kuih Bulan, Perayaan Tanglung, Perayaan "Chang"? Apakah nilai-nilai yang dirayakan dalam tradisi-tradisi berkenaan? Adakah kesemua ini juga nilai-nilai Kristian?) Memahami budaya diri kita dan tradisinya akan membolehkan kita merayakannya secara cara umat Kristian.
Inkulturasi menjelmakan komuniti
Daripada pengalaman peribadi saya tinggal di kalangan komuniti Iban dan Bidayuh, saya menyedari bahawa kampong dan rumah panjang adalah komuniti manusia yang mantap. Bergotong royong untuk menanam, menuai dan memburu adalah sebahagian kehidupan komuniti. Apabila komuniti demikian menerima agama Kristian, perjumpaan hari minggu bantu menjelmakan perkampungan menjadi komuniti Kristian yang hidup. Kepercayaan mengukuhkan kehidupan komuniti. Dilhamkan oleh Injil demikian, mereka lambat laun menyuarakan pengalaman Kristian dengan cara dan bentuk yang asli dan juga harmonis dengan tradisi budaya mereka.
Prinsip-prinsip inkulturasi
Dalam dokumen-dokumen Gereja terkini (Redemptoris Missio), dua prinsip membimbing yang asas bagi inkulturasi diberikan. Pertama, kerana inkulturasi adalah satu proses untuk mengongsikan keimanan Kristian, ia mesti bersesuaian dengan Injil dan pengajaran Kristus. Tetapi komuniti tetap menjadi titik permulaan inkulturasi (bukan hanya beberapa orang pakar yang membuat penyelidikan). Adalah komuniti keimanan yang menginterpretasikan perutusan Injil, menjadikannya relevan kepada situasinya.
Kedua, ini mesti dilaksanakan secara komuni dengan Gereja Sejagat. Biskop, selaku penjaga gedung keimanan, perlu memastikan kesetiaan dan menyediakan kearifan supaya tetap setia kepada keimanan Kristian.
Inkulturasi dalam Keuskupan Agung kita
Asia menjadi tempat pertemuan pelbagai budaya dan tempat kelahiran agama-agama utama di dunia kini, agama Judaisme, Kristian dan Islam daripada Timur Tengah, Hinduisme dan Buddhisme (India) dan Konfucianisme, Taoisme dan Shintoisme (Asia Timur). Inkulturasi di Asia perlu menangani penggunaan teknik-teknik doa dan meditasi, amalan ascetic, simbol dan tema penyembahan popular, tempat-tempat dan masa suci
Penyembahan dan perayaan agama adalah sebahagian kehidupan kita - Perayaan Tahun Baru Cina, Kuih Bulan, Perayaan Ching Ming, Deepavali, Hari Raya, Krismas dan Paska, Gawai Dayak, dll. Di Keuskupan Agung kita, dalam inkulturasi Liturgi, kita telah mula menerapkan tarian budaya Sarawak semasa Ekaristi - tarian penerimaan di pintu masuk Gereja, persembahan pemberian, dan malah kesyukuran.
Pada Tahun Baru Cina, keluarga memulakan hari dengan Misa, dengan pengagihan buah oren dan angpows dan tarian Singa untuk menyembahkan Tuhan. Kini kita merayakan Gawai dengan Misa. Di kampung, saya pernah memberkati alat-alat penanaman dan benih padi untuk penanaman, di samping menerima penyembahan beras yang baru dituaikan semasa persembahan.
Terdapat juga keperluan bagi pembentukan budaya untuk menggalakkan penulis Kristian, penyair dan ahli muzik untuk menyuarakan keimanan Kristian dengan menggunakan simbol-simbol tempatan. Salah satu contoh ialah bangunan komuniti Bidayuh berbentuk kon yang dipanggil baruk. Konsep ini digunakan dalam reka bentuk Gereja kita seperti di St Theresa, Serian, Chapel di Mt Singai, Gereja St Ann dan khususnya Tabernacle dalam Katedral St Joseph. Dalam bidang muzik, paroki Bau telah mengarang lagu-lagu yang dinyanyikan mengikut rentak pukulan gong.
Katekesis adalah satu bidang yang memerlukan inkulturasi. Ia adalah lebih daripada menyebarkan keimanan dalam bahasa yang sesuai (biasanya terlibat dalam mengingat kembali katekisme). Katekesis adalah satu pengenalan kepada nilai-nilai Kristian, sikap dan komuniti, menjalani kehidupan dan penyaksian mengikut Injil.
Rumusan
Saya berharap agar penulisan ringkas ini terhadap inkulturasi telah menunjukkan lagi salah satu sudut misi dalam Keuskupan Agung kita. Sebagai rumusan, biarlah kita mengingat bahawa misi melalui inkulturasi bukanlah tentang menakluki atau memusnahkan budaya atau agama lain. Malahan, dalam dialog dengan budaya lain, Gereja, diilhamkan oleh Injil, lambat laun akan dapat menyuarakan pengalaman Kristiannya dalam cara dan bentuk yang asli, berakar-umbi dalam budaya dan kehidupan rakyat kita.
Tuesday, March 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment